Apa itu Mocha?
Mocha mungkin ditafsirkan berbeza-beza di banyak tempat di seluruh dunia. Bagi anda yang ingin mengetahui apa itu mocha, pada asasnya mocha adalah gabungan antara espreso dengan serbuk atau sirap coklat yang diikuti oleh susu atau krim.
Terdapat beberapa panggilan lain kepada mocha seperti “mocha latte” atau “caffe mocha”. Dalam erti kata lain, mocha adalah minuman latte yang ditambah sirap atau serbuk coklat.
Oleh sebab mocha adalah varian kepada latte, pembancuhannya juga sentiasa mengekalkan nisbah 1/3 espreso dan 2/3 susu kukus. Kemudian, ditambah dengan perisa coklat.
Dikatakan bahawa mocha mempunyai rasa seperti kopi coklat. Walaupun ini benar, mocha adalah lebih daripada itu. Espreso menawarkan rasa yang hampir pahit manakala coklat mencipta rasa manis. Gabungan ini menjadikan mocha sebagai minuman mewah yang lembut.
Asal-usul dan Sejarah
Menyelusuri asal-usulnya, nama mocha sebenarnya merujuk kepada nama pasaran bagi biji kopi yang berasal dari Yaman. Biji kopi ini adalah dari pokok kopi spesies Coffee Arabica yang pada asalnya ditanam di Yaman.
Biji kopi ini mempunyai ciri-ciri seperti kecil, keras, bulat dengan bentuk yang tidak sekata dan berwarna hijau zaitun hingga kuning pucat.
Nama mocha ini juga turut merujuk kepada pelabuhan dimana biji kopi ini dieksport iaitu Al-Makha di Yaman.
Kini, nama mocha tidak lagi merujuk kepada biji kopi tersebut, tetapi ia merujuk kepada minuman kopi latte yang mengandungi perisa coklat.
Perbezaan antara Mocha dan Cappuccino
Mocha dan Cappuccino adalah minuman yang berasaskan espreso. Apa yang membezakan kedua-dua minuman ini adalah mocha mengandungi perasa coklat manakala Cappuccino dibubuh dengan buih susu untuk membentuk minuman kopi berbuih (kadang-kadang Cappuccino turut ditabur dengan serbuk coklat di atasnya).