Pokok kopi turut ditanam di Malaysia. Buat anda yang belum mengetahuinya, kopi telah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1779 apabila varieti Arabica yang berasal dari kawasan tropika di benua Afrika dibawa masuk.
Pengeluaran kopi di Malaysia masih kecil. Pada tahun 2020, menurut data daripada Jabatan Pertanian Malaysia, negara ini hanya mengeluarkan 4,241 ton kopi sahaja. Negeri Johor adalah pengeluar terbesar diikuti oleh negeri Sabah dan Kelantan.
Menurut kajian oleh MARDI (Malaysian Agricultural Research and Development Institute) pada tahun 2014, beberapa kelemahan dalam industri kopi menjadi penyebab kepada kurangkan pengeluaran kopi di negara ini. Antara kelemahan tersebut adalah:
- Kos buruh untuk menuai adalah tinggi akibat buah masak tidak serentak.
- Pengusaha kebanyakannya adalah pekebun kecil dan sudah berusia.
- Kurang galakan dan insentif penanaman kopi.
Sejarah
Pokok kopi mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1779 apabila varieti Arabica di bawa masuk dari kawasan Tropika Afrika. Namun, pertumbuhan kopi Arabica tidak menggalakkan akibat memerlukan suhu yang sederhana sejuk.
Pada tahun 1875, kopi daripada varieti Liberica mula diperkenalkan oleh Leonard Wray. Pada ketika ini, perusahaan kopi tempatan mula berkembang. Kopi varieti Liberica ini lebih tahan kepada suhu yang tinggi dan keadaan panas di Malaysia.
Walau bagaimanapun, kedua-dua varieti kopi ini sangat peka terhadap serangan penyakit karat daun. Maka, pada tahun 1900, kopi varieti Robusta dan Arabica yang lebih tahan terhadap penyakit ini dibawa masuk.
Pada masa ini, kopi varieti Liberica sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia. Manakala, kopi varieti Robusta pula banyak ditanam di Utara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Spesies Kopi di Malaysia
Pokok kopi tergolong dalam keluarga Rubiaceae. Terdapat kira-kira 125 spesies kopi yang terdapat di dunia ini, tetapi hanya empat spesies yang sesuai ditanam secara komersial.
Spesies ini adalah kopi varieti Arabica (Coffea arabica), Robusta (Coffea robusta), Liberica (Coffea liberica var. liberiansis) dan Excelsa (Coffea excelsa).
Walau bagaimanapun, hanya dua spesies sahaja yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu:
- Kopi Liberica
- Kopi Robusta
Jenis Klon Kopi di Malaysia
Selain varieti Liberica dan Robusta, pada tahun 1996, pihak MARDI telah mula mengesyorkan penanaman kopi klon yang boleh mengeluarkan hasil 68% lebih tinggi bagi baka Liberica dan 131% lebih tinggi bagi baka Robusta.
Antara klon kopi MARDI adalah:
- Klon kopi Liberica (MKL 1, MKL 2, MKL 3 dan MKL 4)
- Kopi polihibrid Robusta (MKR 1)
- Klon kopi Robusta (MKR 2, MKR 3, MKR 4 dan MKR 5)
Penyakit dan Perosak Pokok Kopi
Seperti kebanyakan tanaman lain, salah satu cabaran dalam penanaman kopi adalah penyakit dan perosak pokok kopi.
Antara penyakit yang biasanya menyerang tanaman kopi adalah:
Penyakit | Langkah Kawalan |
---|---|
Penyakit karat daun | Sembur dengan racun kulat seperti triadimefon (0.05-0.1%). Musnahkan semua daun yang berpenyakit. |
Penyakit hawar | Pangkas bahagian yang diserang dan musnahkan. Sembur dengan racun kulat yang mengadungi kuprum. |
Penyakit Cendawan Angin | Pangkas bahagian yang diserang dan musnahkan. Sembur racun atau cat pada bahagian yang baru diserang dengan racun kulat jenis kuprum. |
Penyakit Antraknos Buah | Sembur dengan racun kulat seperti mancozeb atau kuprum oksiklorida. |
Manakala, tanaman kopi juga boleh diserang oleh perosak atau serangga seperti berikut:
Perosak | Langkah Kawalan |
---|---|
Kumbang Pengorek Buah | Pungut buah masak dengan segera dan giliran pungutan mesti cepat. Jika serangan teruk, kutip dan musnahkan semua buah kopi yang telah diserang dan yang elok sama ada di atas pokok atau di atas tanah selama 2 – 3 bulan di kawasan yang terlibat. Jika perlu sembur dengan racun serangga chlorpyrifos atau malathion. |
Rama-rama Kepak Jernih | Pungut dan musnahkan ulat yang terdapat pada daun di peringkat awal serangan. Bersihkan ladang dari sampah sarap dan rumput rumpai. Jika perlu sembur dengan racun chlorpyrifos atau malathion. |
Kumbang Kaboi | Sembur dengan racun serangga seperti methrin. |
Teritip | Kawal dengan menyembur white oil atau malathion untuk mengawal semut yang berasingan dengan teritip tadi. |
Nematod | Kawal dengan racun nematod seperti fenamiphos. Guna pokok penanti dari varieti Robusta yang lebih tahan pada serangga nematod. |
Musang | Bersihkan kebun dan kawasan sekeliling kebun |
Pasaran Kopi di Malaysia
Kopi ialah komoditi bahan minuman yang banyak diperdagangkan. Ia merupakan komoditi kedua selepas petroleum yang diperdagangkan di dunia.
Pengeluaran kopi tempatan adalah rendah dan mutu buah kopi juga berbeza-beza telah mendorong Malaysia mengimport kopi.
Permintaan kopi di Malaysia terus meningkat kesan daripada peningkatan jumlah penduduk dan
permintaan pengguna yang dipengaruhi oleh perubahan gaya hidup. Kini, budaya minum kopi sebelum memulakan hari adalah sesuatu yang biasa.
Malah, statistik perdagangan Malaysia pada tahun 2020 menunjukkan industri pembuatan kopi meningkat sebanyak 36% pada Mac 2020 berbanding 6.9% pada Mac 2019. Walau bagaimanapun, data ini mungkin mempunyai pengaruh pandemik COVID-19.
Perkembangan industri kopi ini juga dapat diperhatikan melalui semakin banyaknya kafe-kafe yang menghidangkan pelbagai jenis kopi dibuka di banyak tempat di seluruh Malaysia.
Kesimpulan
Walaupun penanaman pokok kopi di Malaysia tidaklah sehebat negara-negara pengeluar lain, potensi yang besar industri ini sepatutnya tidak disia-siakan oleh pengusaha tempatan. Sokongan kerajaan terhadap pekebun atau pengusaha tanaman pokok kopi di Malaysia juga harus dipergiatkan lagi.
Rujukan
- Anon. (2012). Buku Panduan Tanaman Kopi. Universiti Putra Malaysia
- Bahagian Tanaman Industri dan Bunga-bungaan. (2001). Pakej Teknologi Kopi. Jabatan Pertanian Malaysia.
- Anon. (2020). Statistik Tanaman Industri. Jabatan Pertanian Malaysia.
- Mohammad Nor, N.A.A. et al. (2015). Laporan Kajian Sosioekonomi 2015: Kajian Strategi Penyelidikan dan Pembangunan Dalam Industri Makanan dan Pertanian: Prospek Kopi. MARDI.
- Anon. (2020). Malaysia Trade Statistic Review Vol.1/2020. Jabatan Perangkaan Malaysia.