Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kopi adalah antara minuman paling popular di dunia. Anda mungkin tertanya-tanya, kenapa di negara atau kafe yang berbeza, rasa kopinya berbeza. Salah satu faktornya adalah kualiti biji kopi. Jadi, bagaimana untuk mengenal biji kopi yang berkualiti tinggi?
Mungkin tidak ramai yang tahu cara untuk mengenal biji kopi yang berkualiti tinggi. Oleh itu, artikel ini akan memberikan panduan untuk mengenal biji kopi yang berkualiti tinggi.
Selain daripada produk-produk kopi yang dikelaskan sebagai “specialty coffee” oleh SCA, terdapat beberapa pendekatan lain yang boleh digunakan oleh anda untuk membezakan biji kopi dari segi kualitinya.
Sekiranya anda ingin menikmati atau menjual kopi yang memiliki aroma dan rasa yang hebat maka anda juga memerlukan biji kopi yang hebat.
Mendapatkan biji kopi yang berkualiti adalah satu pelaburan yang berbaloi untuk jangka masa panjang terutamanya jika anda ingin mendapatkan kopi yang mempunyai rasa yang konsisten.
Biji kopi berkualiti berbeza daripada biji kopi standard atau gred rendah dalam beberapa aspek utama iaitu:
1. Penampilan Biji Kopi
Salah satu cara untuk mengenal biji kopi yang berkualiti tinggi adalah penampilan fizikalnya.
Saiz dan bentuk biji kopi tersebut boleh menjadi satu panduan atau indikator yang baik untuk menilai kualitinya.
Biji kopi yang berkualiti mempunyai bentuk dan saiz yang lebih seragam. Ini bermakna biji kopi ini telah melalui proses pengasingan yang teliti.
Selain itu, warna biji kopi juga boleh menjadi petunjuk kepada kualitinya. Biji kopi yang berkualiti tinggi mempunyai warna yang konsisten, warna coklat yang pekat dan sempurna yang menunjukkan pemanggangan yang sempurna.
2. Bau atau Aroma yang Dihasilkan
Aroma biji kopi juga boleh dijadikan panduan untuk mengenal sama ada biji kopi tersebut berkualiti tinggi atau tidak.
Biji kopi berkualiti tinggi harus mempunyai aroma yang kuat dan menyenangkan, dengan sedikit rasa coklat, buah atau bunga.
Sebaliknya, biji kopi berkualiti rendah mungkin mempunyai bau busuk atau hapak, yang boleh menjadi tanda keadaan penyimpanan yang buruk atau teknik pemprosesan yang kurang bermutu.
Bau biji kopi yang berkualiti juga harus kuat ke tahap di mana ia berpanjangan selepas biji telah dikisar.
3. Jenis Biji Kopi
Terdapat dua jenis biji kopi yang utama iaitu Arabica dan Robusta.
Biji kopi Arabica umumnya dianggap sebagai kualiti tertinggi kerana rasa yang lebih manis dan lebih halus.
Manakala, biji kopi Robusta pula selalunya dianggap sebagai kualiti yang lebih rendah kerana rasa yang lebih keras dan kandungan kafein yang lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, mungkin tidak adil untuk mengatakan semua biji kopi Arabica lebih baik daripada biji kopi Robusta.
4. Rasa yang Dihasilkan
Panduan yang seterusnya untuk mengenal biji kopi yang berkualiti adalah rasa yang dihasilkan oleh biji kopi tersebut.
Biji kopi yang berkualiti mempunyai rasa yang kuat, sempurna, lebih kompleks dan menghasilkan secawan kopi yang lengkap
Biji kopi yang bergred rendah akan menghasilkan rasa kopi yang lebih lemah, lebih pahit dan tidak mempunyai kedalaman rasa yang sama.
Jika anda sering meminum kopi segera, anda patut mencuba kopi daripada biji kopi berkualiti tinggi. Anda pasti dapat merasai kelainannya.
5. Pembungkusan
Akhir sekali, pembungkusan biji kopi juga turut memainkan peranan terhadap kualiti biji kopi apabila biji kopi tersebut telah dipanggang.
Pilih biji kopi yang dibungkus ke dalam beg atau bekas pembungkusan yang kedap udara.
Bungkusan kopi terbaik mempunyai pengedap sehala di bahagian atas. Ini membolehkan kopi mengeluarkan gas dengan selamat tanpa membenarkan oksigen tambahan masuk ke dalam beg bungkusan tersebut.
Ini dapat mengelakkan biji kopi menjadi hapak atau tidak sedap yang seterusnya menjejaskan kualiti biji kopi tersebut.