Kopi nyahkafein atau dalam bahasa Inggerisnya, decaffeinated coffee atau decaf coffee adalah kopi yang dihasilkan daripada biji kopi yang telah disingkirkan hampir kesemua kandungan kafeinnya.
Kopi nyahkafein atau kopi tanpa kafein ini menjadi pilihan bagi mereka yang perlu mengehadkan pengambilan kafein atas faktor peribadi atau kesihatan.
Kopi nyahkafein adalah sama seperti kopi biasa kecuali kandungan kafeinnya telah dibuang.
Bagaimana Kopi Nyahkafein Dihasilkan?
Bagi kopi nyahkafein, sekurang-kurangnya 97% kandungan kafein dalam biji kopi tersebut disingkirkan.
Terdapat banyak cara untuk membuang kafein daripada biji kopi. Kebanyakannya menggunakan air, pelarut organik dan karbon dioksida.
Biji kopi dibasuh dalam pelarut sehingga kafein telah diekstrak daripadanya, kemudian pelarut dikeluarkan.
Kafein juga boleh dikeluarkan menggunakan karbon dioksida atau penapis arang, kaedah ini dikenali sebagai Proses Air Swiss.
Lazimnya, biji kopi yang telah dinyahkafein masih mengekalkan nilai nutrisi yang sama dengan biji kopi biasa.
Walau bagaimanapun, rasa dan baunya mungkin sedikit kurang dan warnanya mungkin berubah bergantung kepada kaedah yang digunakan. [1]
Berapa Kandungan Kafein dalam Kopi Nyahkafein?
Kopi nyahkafein tidaklah bebas kafein sepenuhnya. Kopi ini masih mengandungi kafein tetapi lebih rendah daripada kopi biasa.
Jumlah kafein ini berbeza-beza bergantung kepada jenis kopi, kaedah penyediaan dan saiz cawan. Biasanya, ia mengandungi 3 mg kafein secawan. [2]
Terdapat juga kajian yang mendapati bahawa bagi setiap 180 ml cawan kopi nyahkafein terdapat kira-kira 0-7 mg kafein di dalamnya. [3]
Adakah Kopi Nyahkafein Selamat?
Seperti kopi yang lain, kopi nyahkafein juga adalah selamat untuk diminum dan menjadi sebahagian daripada diet sihat.
Proses-proses penyahkafein juga adalah selamat. Selepas kafein dibuang daripada biji kopi, biji kopi tersebut dibasuh, distim dan dipanggang pada suhu yang menyejat cecair yang digunakan dalam penyahkafein.
Kebaikan dan Khasiat Kopi Nyahkafein
Secara umumnya, kopi nyahkafein memiliki sedikit kekurangan dari segi kebaikan perangsang (kafein) yang boleh meningkatkan kepekaan dan tenaga.
Walau bagaimanapun, kopi jenis ini masih mengekalkan beberapa nutrien dan antioksidan seperti kopi biasa.
Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa kandungan antioksidan dalam kopi nyahkafein lebih rendah daripada kopi biasa. Ini mungkin disebabkan kehilangan antioksidan semasa proses penyahkafein. [4, 5]
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Siapakah yang Patut Memilih Kopi Jenis Ini?
Kopi nyahkafein mengandungi jumlah kafein yang jauh lebih sedikit daripada kopi biasa. Ia mungkin menjadi pilihan yang sesuai untuk beberapa individu bergantung kepada keadaan dan keutamaan masing-masing.
Berikut adalah golongan yang mungkin boleh mempertimbangkan memilih kopi nyahkafein berbanding kopi biasa:
- Individu yang sensitif kepada kafein: Sesetengah individu lebih sensitif terhadap kesan rangsangan kafein dan mungkin mengalami kesan yang tidak menyenangkan seperti kegelisahan, sakit kepala, atau gangguan tidur.
- Individu dengan beberapa penyakit: Penghidap penyakit seperti refluks asid, ulser, atau pedih hulu hati mungkin mendapati kopi biasa memburukkan gejala mereka. Oleh itu, bertukar kepada kopi nyahkafein yang mempunyai tahap keasidan yang lebih rendah mungkin bermanfaat.
- Wanita hamil atau menyusu: Secara umumnya, disyorkan bahawa wanita hamil dan menyusu menghadkan pengambilan kafein terutamanya pada trimester pertama. Memilih kopi jenis ini membantu mengurangkan pengambilan kafein semasa tempoh penting ini.
- Individu yang ingin mengurangkan pengambilan kafein keseluruhan: Sesetengah individu mungkin ingin mengurangkan pengambilan kafein mereka atas pelbagai alasan seperti meningkatkan kualiti tidur atau mengurangkan kebergantungan terhadap bahan rangsangan.
- Individu yang menerima ubat preskripsi: Sesetengah individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu mengamalkan diet rendah kafein. Ini termasuk mereka yang menerima ubat preskripsi yang boleh berinteraksi dengan kafein.
Rujukan
- Ramalakshmi, K., & Raghavan, B. (1999). Caffeine in coffee: its removal. Why and how?. Critical reviews in food science and nutrition.
- Barone, J. J., & Roberts, H. R. (1996). Caffeine consumption. Food and chemical toxicology.
- McCusker, R. R. et al. (2006). Caffeine content of decaffeinated coffee. Journal of analytical toxicology.
- Buscemi, S. et al. (2010). Coffee and endothelial function: a battle between caffeine and antioxidants?. European journal of clinical nutrition.
- Parras, P. et al. (2007). Antioxidant capacity of coffees of several origins brewed following three different procedures. Food Chemistry.