Kopi adalah minuman yang dibru daripada biji tumbuhan kopi yang dipanggang ddan dihancurkan. Kopi adalah antara minuman yang popular di dunia di samping air dan teh dan ia juga merupakan komoditi bernilai bagi kebanyakan negara pengeluarnya. Mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah kopi mungkin memberikan sedikit maklumat kepada anda dan membuatkan anda lebih mengenali apa itu kopi.
Kopi kini bukan lagi dilihat sekadar minuman, bahkan ia lebih kepada cara hidup atau tren. Ramai yang memulakan hati mereka dengan kopi, tidak kira sama ada ia merupakan kopi dibru atau kopi segera. Populariti kopi ini mungkin disumbang oleh kesannya yang menyegarkan.
Secara umumnya, terdapat empat varieti kopi yang diusahakan dan didagangkan secara komersial iaitu Arabica, Robusta, Liberica dan Excelsa. Tetapi, 70% tanaman kopi yang ditanam dan didagangkan di pasaran dunia adalah varieti Arabica dan diikuti oleh varieti Robusta sebanyak 28%. Manakala, bakinya terdiri daripada varieti Liberica dan Excelsa.
Ini menunjukkan kopi Arabica dan Robusta adalah dua varieti kopi yang paling banyak diminum di seluruh dunia. Kopi Arabica dianggap lebih lembut, lebih berperisa dan beraroma berbanding kopi Robusta.
Terdapat kira-kira 70 buah negara yang mengusahakan penanaman kopi dan majoritinya adalah negara-negara di Asia Tenggara, Amerika, India dan Afrika.
Asal Usul dan Penyebaran
Pokok kopi liar dipercayai berasal dari wilayah Kaffa di barat daya Etiopia (Habsyah) yang kemudiannya di bawa ke selatan tanah Arab pada kurun ke-15.
Pada kurun ke-16 hingga kurun ke-17, kopi telah diperkenalkan ke negara-negara Eropah. Banyak catatan yang merekodkan tentang larangan atau kelulusannya sebagai ramuan perubatan atau melibatkan agama dan politik.
Pada akhir kurun ke-17, terdapat banyak kedai kopi (warung kopi) yang dibuka di seluruh Britain. pada ketika ini, sumber kopi diperolehi daripada Yaman. Kemudiannya, populariti kopi telah membawa kepada tersebarnya tumbuhan ini ke beberapa tempat lain seperti di Jawa dan kepulauan Indonesia yang lain.
Pada kurun ke-18, penanaman kopi telah dimulakan di kepulauan Hawai iaitu salah satu wilayah Amerika.
Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, industri mesin pemanggang dan pengisar biji kopi mula digunakan. Bekas kedap udara dicipta untuk memanggang kopi dikisar dan kaedah penyahkafein untuk biji kopi hijau juga turut diperkenalkan.
Selepas tahun 1950, penghasilan kopi segera telah disempurnakan yang membawa kepada peningkatan pengeluaran biji Robusta yang lebih murah di Afrika.
Kurun ke-20 juga menyaksikan penghasilan kopi tertumpu di negara-negara Hemisfera Barat terutamnya Brazil.
Pengeluaran
Pada November 2021, eksport kopi dunia berjumlah 9.25 juta beg iaitu sedikit penurunan berbanding 10.56 juta beg pada November 2020.
Pada tahun 2020, negara pengeluar kopi terbesar adalah Brazil diikuti oleh Vietnam, Indonesia dan Colombia.
Sejarah Kopi di Malaysia
Sejarah kopi di Malaysia bermula apabila ia mula diperkenalkan pada tahun 1779 apabila varieti Arabica yang berasal dari kawasan tropika di benua Afrika dibawa masuk.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan tanaman kopi Arabica kurang menggalakkan kerana memerlukan suhu yang sederhana sejuk (15 – 22 °C) dan keadaan lembap-dingin untuk pertumbuhan yang baik.
Kopi Arabica hanya sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi antara 1000 – 2000m dari aras laut. Keluasan kawasan tanah tinggi yang terbatas di Malaysia menjadikan tanamannya terhad dan tertumpu di Cameron Highlands sahaja.
Ekoran itu, tanaman kopi daripada varieti Liberica mula diperkenalkan oleh Leonard Wray pada tahun 1875. Kopi varieti ini lebih tahan kepada suhu yang tinggi dan keadaan panas serta kemarau di Malaysia.
Industri kopi Malaysia secara relatifnya sangat kecil. Pengeluaran kopi negara tidak dapat
menampung permintaan kopi yang terus meningkat kesan daripada peningkatan jumlah penduduk dan permintaan pengguna yang dipengaruhi oleh perubahan gaya hidup.
Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, pada tahun 2020, Johor adalah negeri pengeluar terbesar kopi di Malaysia dengan saiz pengeluaran sebanyak 2,960 Mt (Megatonne) diikuti oleh negeri Sabah dan Kelantan.
Nilai hasil ini dilihat semakin merosot berbanding hasil pada tahun 2013. Kelemahan-kelemahan seperti kos buruh, pengusaha terdiri daripada pekebun kecil dan berusia, kurang galakan dan insentif penanaman kopi menjadi antara penyebab kepada kemerosotan ini.
Rujukan
- Myhrvold, N. (n.d.). Coffee. Britannica.
- Mohammad Nor, N.A.A. (n.d.). Kajian Strategi Penyelidikan dan Pembangunan Dalam Industri Makanan dan Pertanian: Prospek Kopi.
- Jabatan Pertanian Malaysia.(2020). Statistik Tanaman Industri Malaysia 2020.