Mungkin anda terfikir-fikir perlu atau tidak untuk mempunyai penimbang kopi? Untuk menghakis keraguan anda, ini sebab-sebab kenapa anda memerlukan penimbang kopi untuk membru kopi anda.
Mengukur biji kopi dan air mungkin bukan sebahagian daripada rutin pagi anda, tetapi ia adalah satu langkah ringkas yang menghasilkan kopi yang lazat.
Penimbang kopi akan mengubah cara anda membru kopi. Minuman anda akan menjadi lebih lazat dan lebih seimbang.
Dahulunya, hanya kedai kopi yang besar sahaja menggunakan penimbang untuk membru kopi. Tetapi, kini keadaan telah banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kedai kopi yang baru bertapak juga sudah mula menggunakan penimbang untuk membancuh kopi dan espreso.
Adalah tidak pelik juga sekiranya pencinta kopi menggunakan penimbang untuk membru kopi di rumah. Hal ini demikian kerana faedahnya adalah sangat jelas!
1. Kekonsistenan
Anda mungkin pernah mengalami situasi ini di mana kopi yang anda bancuh hari ini tidak seenak kopi yang anda bancuh semalam. Anda mungkin tertanya-tanya apakah puncanya?
Jawapannya adalah mudah, penimbang kopi.
Ketepatan yang ditawarkan oleh penimbang kopi untuk minuman harian anda bukan sahaja meningkatkan rasa dan keseimbangan sekali sahaja. Ia adalah setiap masa.
Anda tidak lagi perlu meneka penggunaan kopi dan air. Melalui penggunaan penimbang kopi, anda tahu dengan tepat jumlah kopi dan air yang digunakan. Maka, anda boleh menghasilkan minuman kopi yang mempunyai rasa yang konsisten setiap hari.
2. Ketepatan
Penimbang mengunakan unit gram memberi anda kawalan sepenuhnya ke atas jumlah kopi dan air yang anda gunakan.
Ini bermakna anda tidak perlu lagi meneka dengan sudu. Ia juga bermakna anda tidak akan tertanya-tanya jika anda menggunakan jumlah kopi yang betul.
Dengan adanya penimbang, ia membolehkan anda membancuh menggunakan nisbah keemasan kopi kepada air. Nisbah ini diterima di seluruh dunia sebagai cara terbaik untuk membancuh kopi yang seimbang.
Nisbah keemasan adalah: 1 gram kopi kepada 15-17 gram air.
Ini bermakna, bagi setiap 1 gram biji kopi, anda perlu menggunakan 15-17 gram (atau mililiter) air untuk membru.
Tanpa penimbang, anda tidak mempunyai cara untuk mengetahui sama ada anda berada dalam julat ini atau tidak. Anda tidak mempunyai cara untuk mengetahui sama ada kopi anda seimbang seperti yang sepatutnya atau tidak.
Tetapi dengan penimbang, mencapai keseimbangan itu adalah mudah, tidak menyusahkan dan tidak mengambil masa yang lama sama sekali.
3. Penjimatan Kopi
Sebab yang seterusnya mengapa anda perlu menggunakan penimbang kopi adalah penjimatan kopi.
Sekiranya anda berada dalam komuniti kopi, mungkin terdapat perbualan mengenai jumlah cawan yang boleh diperolehi daripada satu beg biji kopi.
Anda mungkin terkejut sekiranya ada yang memperoleh lebih banyak cawan walaupun menggunakan beg kopi dan saiz cawan yang sama.
Rahsianya adalah pencedok (scoop) dan penimbang kopi.
Sekiranya anda menggunakan penimbang, anda mengukur jumlah kopi yang tepat. Sebagai contoh, 16 gram.
Tetapi, sekiranya anda menggunakan pencedok, berat kopi yang dicedok mungkin berbeza-beza antara 16-19 gram bagi setiap bancuhan.
Perbezaan sekitarnya 3 gram ini akhirnya membawa kepada perbezaan jumlah kopi yang boleh dihasilkan oleh satu beg kopi tersebut.
Ini juga bermakna, anda perlu membayar lebih untuk mendapatkan jumlah cawan yang sama sepertimana mereka yang menggunakan penimbang kopi.
Kesimpulan
Ringkasnya, dengan adanya penimbang kopi:
- Anda akan mengetahui jumlah kopi yang anda gunakan dengan tepat.
- Anda mengetahui jumlah air yang digunakan.
- Anda boleh menggunakan nisbah yang tepat setiap masa.
- Anda boleh menggunakan biji kopi yang dibeli dengan lebih efisien.
- Anda boleh menjimatkan wang.