Sudah tentu ramai yang suka melihat seni latte, lebih-lebih lagi jika barista tersebut pandai menghasilkan seni latte yang unik. Jika anda ingin mencubanya sendiri, terdapat beberapa peralatan yang anda perlukan untuk membuat seni latte.
Dengan peralatan yang betul dan panduan untuk pemula, adalah mungkin untuk membuat seni latte anda sendiri di rumah.
Apa itu Seni Latte?
Sebelum kita pergi lebih jauh, adakah anda tahu apa itu seni latte?
Seni latte merujuk kepada suatu bentuk seni di mana gambar atau reka bentuk yang indah dicipta di atas permukaan minuman kopi menggunakan susu yang dikukus.
Teknik seni latte, atau juga dikenali sebagai “latte art,” digunakan untuk menghasilkan pelbagai bentuk atau reka bentuk pada permukaan minuman kopi.
Beberapa contoh seni latte yang popular adalah seperti hati, daun, bunga, angsa dan juga reka bentuk yang lebih kompleks seperti wajah atau pemandangan.
Seni latte merupakan gabungan antara kemahiran teknikal dalam penyajian kopi yang berkualiti dan kemahiran artistik dalam mencipta reka bentuk yang menarik secara visual.
Minuman kopi yang dihias dengan seni latte memberikan pengalaman yang unik dan estetik serta memberikan kepuasan visual sebelum minuman itu diminum.
Seni latte semakin popular dalam kalangan pencinta kopi dan penggemar seni, dan kerap menjadi daya tarikan di kedai kopi yang menekankan kualiti dan kreativiti dalam penyajian kopi.
Siapakah yang Mula-mula Menghasilkan Seni Latte?
Seni latte dikatakan dimulakan oleh dua orang barista iaitu David Schomer dan Luigi Lupi.
David Schomer dikatakan memulakan seni lattenya pada pertengahan tahun 1980-an dan kemudiaanya menulis buku mengenai seni latte.
Luigi Lupi iaitu barista dari Itali turut memulakan seni lattenya pada tahun 1980-an.
Peralatan yang Diperlukan untuk Menghasilkan Seni Latte
Beberapa peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan seni latte adalah seperti berikut:
- Jag air
- Cawan
- Peralatan seni latte atau pencungkil gigi atau sesuatu yang serupa saiznya
- Mesin espreso
- Kapsul kopi atau biji kopi yang telah dikisar
- Susu (susu barista)
Pilih Susu yang Betul
Memilih susu yang betul akan memberi kesan kepada jumlah buih dan kelembutan susu.
Susu penuh (whole milk) membolehkan anda mempunyai buih yang penuh dan tebal dan susu rendah lemak dan skim akan menghasilkan lebih banyak buih dengan buih yang lebih besar.
Untuk buih susu yang optimum, gunakan susu penuh atau separuh skim pada suhu peti sejuk kira-kira 4-6 darjah Celsius.
Kepentingan Pembuih Susu
Pembuih susu (milk frother) memainkan peranan penting dalam penghasilan seni latte.
Kebanyakan mesin espreso mempunyai batang atau tongkat pembuih susu yang telah bersepadu dengan mesin tersebut.
Pembuih susu ini boleh membantu anda menghasilkan buih susu yang lembut, ini boleh memudahkan anda menghasilkan seni latte.
Bagaimana Cara Menuang Susu untuk Seni Latte?
Mula menuang sedikit tinggi. Setelah cawan separuh penuh, rendahkan jag untuk membuat buih kelihatan.
Tuangkan pada kelajuan tetap sambil memegang cawan pada sudut. Jika anda menuang terlalu laju, krim akan terburai dan jika anda menuang terlalu perlahan, buih akan tertinggal.
Ketinggian anda menuang susu anda juga pasti mempengaruhi cara susu anda bertemu dengan espreso (kopi).
Sebagai contoh, semakin tinggi anda menuang dari permukaan kopi, susu akan masuk ke bawah permukaan dengan lebih baik dan semakin dekat anda meletakkan muncung jag ke kopi, semakin banyak susu berbuih putih akan berada di bahagian atas permukaan kopi.