Memiliki mesin espreso sendiri mungkin satu mimpi yang menjadi kenyataan. Tetapi, bagi seorang pemula, anda mungkin mengalami beberapa masalah dengan mesin espreso anda. Ia mungkin disebabkan oleh beberapa kesilapan yang anda lakukan semasa menggunakan mesin espreso tersebut.
Mempelajari kesilapan yang mungkin dilakukan adalah salah satu proses pembelajaran sebelum anda menjadi seorang barista yang mahir.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai beberapa kesilapan menggunakan mesin espreso yang biasa dilakukan oleh orang yang baru berjinak-jinak dengan mesin espreso.
5 kesilapan menggunakan mesin espreso yang mungkin anda lakukan adalah:
1. Tidak Pernah Membersihkan Mesin Espreso
Ini adalah kesilapan yang sering dilakukan oleh pemilik mesin espreso di rumah. Mesin espreso memerlukan pembersihan yang kerap, lebih daripada pembancuh kopi titisan automatik.
Ini disebabkan oleh operasi mesin espreso melibatkan banyak tekanan dan zarah kisaran yang sangat halus.
Mesin espresso menghasilkan tekanan 135psi apabila membancuh syot espreso dan apabila syot selesai, banyak mesin mempunyai pelepasan tekanan segera.
Kedua-dua tindakan ini mewujudkan banyak pergolakan dan aliran balik melalui bahagian-bahagian mesin tersebut.
Begitu juga dengan tongkat stim (steam wand), ia perlu dibersihkan sepenuhnya termasuklah bahagian dalamnya, setiap kali anda menggunakannya.
2. Menggunakan Air yang Tidak Berkualiti
Menggunakan air yang tidak berkualiti juga antara kesilapan yang mungkin dilakukan oleh sesetengah orang. Ia mungkin disebabkan kualiti air paip yang dibekalkan oleh pembekal air mentah.
Kaedah terbaik adalah menggunakan air yang bertapis untuk mendapatkan espreso yang berkualiti.
Sesetengah mesin espreso mempunyai sistem penapis air yang sedia terbina di dalam mesin tersebut. Jika mesin espreso anda tidak mempunyai sistem penapis air, anda boleh menggunakan air daripada mesin penapis air lain.
3. Tidak Menggunakan Teknik “Tamping” yang Betul
Teknik “tamping” yang tidak betul atau kurang baik juga menyumbang kepada kualiti espreso yang rendah.
Ramai yang melakukan kesilapan dalam memadatkan (tamping) serbuk kopi di dalam portafilter. Pemadatan yang tidak rata atau seimbang boleh menyebabkan satu atau lebih bahagian lebih nipis daripada bahagian yang lain.
Sekiranya lapisan serbuk kopi tersebut tidak seimbang, majoriti air bertekanan akan melalui bahagian yang nipis, ini akan menyebabkan pengekstrakan berlebihan di satu bahagian dan kurang pengekstrakan di bahagian yang lain.
Akibatnya, anda mendapat espreso yang cair dan terlebih ekstrak.
4. Tidak Seimbangkan Suhu Sebelum Menarik Syot
Suhu adalah sangat penting untuk pengekstrakan yang konsisten. Perbezaan hanya beberapa darjah boleh mengurangkan ekstrak espreso anda, yang membawa kepada rasa masam.
Oleh itu, sentiasa “flush” sedikit air panas melalui grouphead sebelum anda menarik syot. Ini bagi memastikan semua komponen mesin berada pada suhu yang sesuai.
Tambahan daripada itu juga, sila berikan sedikit masa kepada mesin anda untuk panas sepenuhnya dan gunakan cawan atau koleh yang telah dipanaskan terlebih dahulu.
5. Menggunakan Serbuk Kopi yang Terlalu Kasar
Kesilapan menggunakan mesin espreso yang seterusnya adalah menggunakan serbuk kopi yang terlalu kasar pada portafilter.
Serbuk kopi yang terlalu kasar akan menghasilkan espreso yang berair, cair dan masam. Dengan luas permukaan yang lebih kecil dan lebih banyak ruang antara kisaran, air bertekanan akan melalui serbuk kopi tersebut dengan lebih laju.
Ini bermakna anda akan mendapat espreso yang cair dan kurang rasa.
Kesimpulan
Kesilapan adalah guru yang terbaik untuk kita belajar. Oleh itu, jangan berasa bimbang jika anda pernah melakukan kesilapan.
Begitu juga dengan mesin espreso. Bagi pemula, adalah biasa “normal” jika anda melakukan kesilapan. Apa yang penting anda belajar dan menambah baik kemahiran anda.
5 kesilapan menggunakan mesin espreso ini boleh berlaku tanpa anda sedari atau ketahuinya. Semoga ia membantu anda menemui kesilapan yang mungkin anda buat.