Kopi adalah antara sumber utama kepada kafein dan ia adalah antara minuman yang paling banyak di minum di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, meminum kopi terlalu banyak boleh mendatangkan kesan sampingan akibat terlalu banyak kafein.
Kafein adalah sebatian pahit yang terdapat dalam 60 tumbuhan termasuklah biji kopi. Umumnya, penyelidikan telah membuktikan adalah selamat untuk mengambilnya pada jumlah yang rendah hingga sederhana. [1]
Meskipun begitu, mengambil terlalu banyak kafein boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan kerana kafein adalah sejenis bahan perangsang yang mempengaruhi sistem saraf pusat.
Setiap orang mempunyai tolerans terhadap kafein yang berbeza-beza. Sesetengah orang mungkin boleh mengambil kafein yang banyak tanpa mengalami gejala-gejala atau kesan sampingan.
Manakala sesetengah yang lain pula mungkin mengalami kesan sampingan selepas mengambil kafein pada kadar yang boleh dikatakan sederhana.
Berikut adalah beberapa kesan sampingan yang boleh berlaku akibat pengambilan kafein secara berlebihan:
1. Insomnia
Pengambilan kafein yang tinggi terutamanya jika diambil pada waktu petang atau malam, boleh mengganggu keupayaan anda untuk tidur atau kekal tidur yang nyenyak.
Ini boleh menyebabkan gangguan tidur dan insomnia.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan kafein yang lebih tinggi boleh meningkatkan jumlah masa yang diperlukan untuk tidur. Ia juga boleh mengurangkan jumlah masa tidur, terutamanya pada orang tua. [2]
2. Keresahan atau Kebimbangan
Kafein boleh meningkatkan kewaspadaan.
Pada masa yang sama, ia mencetuskan pelepasan adrenalin, hormon “lawan atau lari” yang dikaitkan dengan peningkatan tenaga.
Walau bagaimanapun, pada dos yang lebih tinggi, kesan ini mungkin menjadi lebih ketara, yang membawa kepada keresahan, kebimbangan atau kegelisahan.
Malah, kecelaruan kebimbangan yang disebabkan oleh kafein ialah salah satu daripada empat sindrom berkaitan kafein yang disenaraikan dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM), yang diterbitkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika. [3]
3. Ketagihan
Meminum kopi boleh menjadi satu tabiat yang jika tidak dikawal boleh menjadi ketagihan atau kebergantungan.
Kajian menunjukkan bahawa walaupun kafein boleh menyebabkan ketagihan tetapi ia tidak menyebabkan ketagihan klasik seperti yang dilakukan oleh dadah seperti kokain. [4]
Walau bagaimanapun, ia mungkin membawa kepada kebergantungan psikologi atau fizikal, terutamanya pada dos yang tinggi.
4. Tekanan Darah Tinggi
Kafein juga boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah.
Kesan sampingan kafein ini disebabkan oleh sifat perangsangnya. Peningkatan tekanan darah boleh meningkatkan risiko kepada strok atau serangan jantung.
Mujurlah, kesan kafein pada tekanan darah hanyalah bersifat sementara. Selain itu, ia juga mungkin mempunyai kesan paling kuat kepada orang yang tidak biasa meminumnya. [5]
5. Denyutan Jantung Laju
Kafein juga boleh meningkatkan kadar deyutan atau degupan jantung, terutamanya dengan dos yang tinggi.
Ia juga boleh menyebabkan perubahan irama deyutan jantung, dipanggil fibrilasi atrium, yang telah dilaporkan pada golongan muda yang mengambil minuman tenaga yang mengandungi dos kafein yang sangat tinggi. [6]
Terdapat juga laporan kes yang mendedahkan seorang wanita yang mengambil serbuk dna tablet kafein yang banyak dalam percubaan membunuh diri. Wanita ini telah mengalami deyutan jantung yang sangat laju, kegagalan buah pinggang dan masalah kesihatan yang serius yang lain. [7]
Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini tidak berlaku pada semua orang. Malah, sesetengah orang yang mengalami masalah jantung mungkin boleh bertolak ansur dengan sejumlah besar kafein tanpa sebarang kesan buruk.
6. Masalah Penghadaman
Kafein juga mempunyai kesan laksatif yang boleh mempercepatkan aktiviti dalam usus besar dan meningkatkan pembuangan air besar.
Walau bagaimanapun, pada dos yang tinggi kafein boleh menyebabkan najis cair atau cirit-birit (diarea) bagi sesetengah orang.
7. Kerosakan Otot
Pengambilan kafein yang berlebihan juga berpotensi menyebabkan rabdomiolisis iaitu keadaan yang sangat serius di mana serat otot yang rosak memasuki aliran darah, membawa kepada kegagalan buah pinggang dan masalah lain.
Terdapat laporan bahawa rabdomiolisis mempunyai perkaitan dengan pengambilan kafein yang berlebihan, walaupun ini agak jarang berlaku. [8]
8. Kelesuan
Minuman berkafein seperti kopi dan minuman tenaga terkenal dengan ciri-cirinya yang boleh meningkatkan tenaga.
Namun, ia juga boleh mempunyai kesan sebaliknya dengan membawa kepada kelesuan selepas kafein meninggalkan badan anda.
Satu kajian semula terhadap 41 kajian mendapati bahawa walaupun minuman tenaga berkafein meningkatkan kewaspadaan dan mood yang lebih baik selama beberapa jam, peserta sering lebih letih daripada biasa pada hari berikutnya. [9]
9. Kerap Kencing
Kafein juga boleh bertindak sebagai diuretik, menyebabkan peningkatan dalam pembuangan air kencing dan berpotensi menyebabkan dehidrasi.
Di samping itu, pengambilan yang tinggi boleh meningkatkan kemungkinan mengalami inkontinen pada orang yang mempunyai pundi kencing yang sihat.
Satu kajian besar mendapati mereka yang mengambil lebih daripada 450 mg kafein setiap hari mempunyai peningkatan risiko inkontinen yang ketara, berbanding mereka yang mengambil kafein kurang daripada 150 mg sehari. [10]
Inkontinen ialah keadaan seseorang yang tidak dapat mengawal gesaan untuk kencing.
10. Mengurangkan Kesihatan Tulang
Pegambilan kafein yang terlalu tinggi mungkin boleh mempengaruhi kesihatan tulang dari masa ke semasa.
Satu kajian besar yang melibatkan 61,433 orang wanita mendapati pengambilan kopi yang tinggi (melebihi 4 cawan sehari) dikaitkan dengan pengurangan kecil kepadatan tulang yang tidak membawa kepada peningkatan risiko patah tulang. [11]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian mengenai kesan kafein terhadap kesihatan tulang masih bercampur-campur.
Ringkasan
Penting untuk diingat bahawa toleransi individu terhadap kafein berbeza, dan apa yang dianggap sebagai pengambilan kafein “terlalu banyak” boleh berbeza dari individu ke individu.
Pada amnya, pengambilan kafein secara sederhana (sekitar 200-400 mg sehari, yang kira-kira setara dengan 1-4 cawan kopi) dianggap selamat untuk kebanyakan orang dewasa.
Walau bagaimanapun, pengambilan melebihi jumlah ini secara berkala boleh menyebabkan kesan sampingan yang telah disebutkan.
Jika anda bimbang tentang pengambilan kafein anda atau mengalami kesan negatif, adalah baik untuk mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.
Rujukan
- Temple, J. L. et al. (2017). The Safety of Ingested Caffeine: A Comprehensive Review. Frontiers in psychiatry.
- Clark, I., & Landolt, H. P. (2017). Coffee, caffeine, and sleep: A systematic review of epidemiological studies and randomized controlled trials. Sleep medicine reviews.
- Sweeney, M. M. et al. (2020). Prevalence and Correlates of Caffeine Use Disorder Symptoms Among a United States Sample. Journal of caffeine and adenosine research.
- Nehlig A. (1999). Are we dependent upon coffee and caffeine? A review on human and animal data. Neuroscience and biobehavioral reviews.
- Shah, S. A. et al. (2016). Effects of Single and Multiple Energy Shots on Blood Pressure and Electrocardiographic Parameters. The American journal of cardiology.
- Mattioli, A. V. et al. (2018). Energy Drinks and atrial fibrillation in young adults. Clinical nutrition.
- Laskowski, L. K. et al. (2015). Start me up! Recurrent ventricular tachydysrhythmias following intentional concentrated caffeine ingestion. Clinical toxicology.
- Campana, C. et al. (2014). Caffeine overdose resulting in severe rhabdomyolysis and acute renal failure. The American journal of emergency medicine.
- Ishak, W. W. et al. (2012). Energy drinks: psychological effects and impact on well-being and quality of life-a literature review. Innovations in clinical neuroscience.
- Jura, Y. H. et al. (2011). Caffeine intake, and the risk of stress, urgency and mixed urinary incontinence. The Journal of urology.
- Hallström, H. et al. (2013). Long-term coffee consumption in relation to fracture risk and bone mineral density in women. American journal of epidemiology.