Menghasilkan espreso yang hebat dan sempurna memerlukan gabungan beberapa teknik dan teknik pengagihan Weiss (Weiss Distribution Techniques) adalah salah satu daripadanya.
Menyeduh kopi yang sempurna memerlukan keseimbangan pembolehubah seperti saiz pengisaran, tekanan tamping dan pengagihan.
Teknik pengagihan Weiss (WDT) adalah salah satu daripada teknik yang merevolusikan penyediaan espreso. Justeru itu, kita akan menyelami dengan lebih lanjut mengenai teknik ini dan bagaimana anda boleh memanfaatkannya dalam penyediaan kopi anda.
Teknik pengagihan Weiss dipelopori oleh John Weiss pada awal tahun 2000. Teknik ini ialah satu kaedah mengagihkan serbuk kopi secara sama rata di dalam portafilter sebelum dimampatkan (tamping).
Matlamat utamanya adalah untuk menghapuskan ketidakkonsistenan dalam lapisan kopi, menghancurkan gumpalan, dan mengagihkan semula kopi yang dikisar dengan lebih sekata.
Ini semua penting bagi memastikan keseragaman dalam pengekstrakan dan hasilnya meningkatkan profil rasa syot espreso yang dihasilkan.
Teknik ini melibatkan penggunaan alat pengagihan untuk mengacau dengan lembut serbuk kopi di dalam bekas portafilter.
John Weiss menggunakan jarum pembedahan dalam percubaan pertamanya, manakala ada juga orang yang menggunakan jarum jahit, klip kertas dan juga pencungkil gigi nipis.
Baru-baru ini, terdapat pengeluar membuat peranti WDT dan biasanya ia menggunakan jarum akupunktur, ditetapkan ke dalam kayu atau plastik sebagai mekanisme pengacau.
Dengan mengacau lapisan kopi yang dikisar, gumpalan dan ketumpatan yang tidak sekata dipecahkan, membawa kepada lapisan serbuk kopi yang lebih sekata.
Lapisan yang seragam ini menggalakkan aliran air yang seragam semasa proses pengekstrakan, menghalang penyaluran dan mengurangkan risiko pengekstrakan berlebihan atau kurang pengekstrakan.
Cara Menggunakan Teknik Pengagihan Weiss (WDT)
Walaupun teknik pengagihan Weiss boleh dilaksanakan menggunakan banyak alat seperti jarum, pencungkil gigi atau klip kertas, namun langkah terbaik adalah mempunyai alat yang direka khusus untuk teknik ini.
Mempunyai alat yang sesuai untuk teknik ini benar-benar menjadikannya lebih mudah, lebih baik dan lebih cepat untuk dilaksanakan.
Beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk menggunakan teknik ini adalah:
- Menggunakan kolar dos (dosing collar): Kolar dos sememangnya diperlukan untuk melakukan teknik ini dengan cepat, sekata dan bebas kucar-kacir. Dengan kolar dos, anda boleh menjadi lebih “agresif” pada peringkat awal bagi tujuan untuk mengagihkan semula kopi dengan lebih baik dan memecahkan gumpalan yang berlebihan.
- Kisar dan dos: Kisar kopi anda serta-merta sebelum anda mahu menarik syot anda.
- Gunakan teknik pengagihan Weiss: Selepas memasukkan serbuk kopi ke dalam portafilter, gunakan alat pengagihan untuk kacau perlahan-lahan serbuk kopi tersebut. Gerakkan alat pengagihan dalam gerakan bulat atau bolak-balik, pastikan bahawa semua gumpalan dipecahkan, dan serbuk kopi tersebut sekata.
- Ketukan (pilihan) dan mampatkan (tamping): Selepas pengagihan dilakukan, sedikit ketukan pada portafilter boleh menjadikan serbuk kopi tersebut lebih sekata. Kemudian, anda boleh memampatkan serbuk kopi anda seperti biasa.
Seterusnya, anda boleh menarik syot espreso anda.