Biji kopi boleh hilang kesegarannya sebaik sahaja selepas dipanggang. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengetahui cara simpan biji kopi ini dengan cara yang betul.
Sekiranya anda hanya membeli kopi untuk diri sendiri atau kumpulan kecil, cuba beli kopi yang dipanggang segar dalam kelompok yang kecil dengan lebih kerap, cukup untuk satu atau dua minggu.
Terdedah kepada udara boleh menyebabkan biji atau serbuk kopi lebih cepat rosak. Jika anda lebih suka menyimpan biji kopi anda dalam bekas yang boleh diakses atau menarik, mungkin idea yang baik untuk membahagikan bekalan kopi anda kepada beberapa bahagian yang lebih kecil.
Jika anda mempunyai pilihan, menyimpan biji kopi adalah lebih baik daripada menyimpan serbuk kopi. Hanya mengisarnya apabila anda sudah bersedia untuk membancuh kopi kerana biji kopi boleh mengekalkan rasa yang halus dan aroma yang kaya.
Simpan dalam Bekas Kedap Udara Pada Suhu Bilik
Cara simpan biji kopi yang paling biasa digunakan adalah menyimpannya ke dalam bekas yang kedap udara dan diletakkan di rak atau bahagian yang mempunyai suhu bilik.
Bekas kedap udara boleh menghalang biji kopi anda daripada terdedah kepada udara dan lembapan. Dengan cara ini, biji kopi anda tidak mudah untuk lemau dan rosak.
Selain itu juga, lokasi penyimpanan bekas kopi juga penting. Simpan bekas yang berisi biji kopi ini ditempat yang tertutup, kering dan gelap.
Pastikan biji kopi anda tidak terdedah kepada cahaya matahari. Tambahan lagi, elakkan meletakkan biji kopi berdekatan tempat yang panas seperti sebelah ketuhar atau dapur gas.
Jika di simpan pada suhu bilik, biji kopi yang telah dipanggang boleh mengekalkan kesegaran sekitar 2 hari hingga 4 minggu untuk digunakan oleh pembancuh kopi yang menggunakan teknik penyeduhan.
Manakala, biji kopi ini boleh bertahan sekitar 1 minggu hingga 6 minggu untuk espreso.
Simpan dalam Bekas Asal
Sesetengah orang juga suka untuk menyimpan biji kopi yang dibeli dalam pembungkusan yang asal.
Cara simpan biji kopi ini hanya sesuai sekiranya beg pembungkusan tersebut mempunyai injap sehala yang membenarkan gas seperti karbon dioksida keluar tanpa membenarkan oksigen masuk.
Gas boleh terkumpul dalam kopi dari semasa ke semasa, tetapi injap sehala yang ada dalam model beg kopi yang terkini boleh menghalang keadaan ini daripada berlaku.
Beg jenis ini boleh memastikan biji kopi kedap udara dan dilindungi daripada cahaya matahari.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan kesegaran biji kopi ini terjamin, adalah dinasihatkan untuk menggunakan biji kopi ini dalam masa 1 hingga 2 minggu.
Simpan dalam Penyejuk Beku
Mungkin kedengaran pelik tetapi menyimpan biji kopi di dalam penyejuk beku bukanlah perkara yang tidak baik, tetapi terdapat cara yang betul untuk melakukannya.
Menurut National Coffee Association (NCA), kopi bersifat higroskopik iaitu ia menyerap atau mengambil wap dari udara.
Ini bermakna menyimpan biji kopi di dalam peti sejuk adalah tidak sesuai kerana ia masih mempunyai lembapan.
Walau bagaimanapun, biji kopi boleh disimpan dalam penyejuk beku (freezer) selagi kaedah penyimpanan yang digunakan adalah betul.
Cara terbaik untuk simpan biji kopi di dalam penyejuk beku adalah membahagikan biji kopi tersebut kepada beberapa bahagian kecil untuk kegunaan selama kira-kira 2 minggu.
Kemudian, masukkan biji kopi tersebut dalam beg plastik yang boleh dikedap vakum (vacuum seal).
Apabila anda ingin menggunakan biji kopi ini, anda boleh keluarkan biji kopi tersebut daripada penyejuk beku dan biarkan ia pada suhu bilik untuk nyah beku sebelum digunakan.
Elakkan daripada kembali menyejuk beku biji kopi tersebut. Biasanya, biji kopi yang dibekukan boleh bertahan selama sebulan.