Kopi adalah minuman yang menjadi pilihan ramai. Selain membekalkan tenaga dan membuatkan kita sentiasa peka sepanjang hari, terdapat banyak khasiat kopi yang boleh diperolehi oleh pengemarnya jika diambil secara bersederhana. Tetapi, tahukah anda cara yang sihat untuk membru secawan kopi?
Selain mengurangkan penggunaan gula dan krim, cara membru kopi juga boleh memberikan impak kepada khasiat atau kebaikannya. Menariknya, baru-baru ini saintis mengumumkan cara yang paling sihat untuk membru secawan kopi.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal European Journal of Preventive Cardiology melihat perkaitan antara cara membru kopi dengan risiko serangan jantung dan kematian. Kajian ini mendapati menggunakan penapis semasa membru kopi adalah lebih baik untuk anda.
Hal ini demikian kerana penapis boleh membantu menyingkirkan sebatian di dalam kopi yang boleh meningkatkan kolesterol anda.
Kajian oleh saintis dari Norway ini melibatkan peserta seramai 508,000 orang yang berusia antara 20 hingga 79 tahun. Kajian ini mendapati mereka yang minum kopi bertapis berisiko rendah terhadap kematian pramatang berbanding mereka yang minum kopi tidak bertapis atau tidak meminum kopi.
Kajian ini turut melaporkan risiko serangan jantung adalah tinggi bagi mereka yang meminum 9 cawan atau lebih kopi tidak bertapis dalam sehari.
Menurut kenyataan daripada penulis kajian ini, Professor Dag S. Thelle dari University of Gothenburg, Sweden, “Kopi yang tidak ditapis mengandungi bahan yang meningkatkan kolesterol darah. Menggunakan penapis menghilangkan bahan ini dan mengurangkan kemungkinan serangan jantung dan kematian pramatang.”
Eksperimen yang dijalankan berjaya mengenal pasti bahan yang menyebabkan kenaikan kolesterol darah di dalam kopi dan turut mendapati ia boleh dikeluarkan menggunakan penapis. Secawan kopi tidak ditapis mengandungi kira-kira 30 kali ganda kepekatan bahan penaik kolesterol berbanding kopi yang ditapis.
Walaupun kajian ini adalah kajian pencerapan (observational study), tetapi jika anda mempunyai paras kolesterol yang tinggi, mengelak daripada kopi yang tidak bertapis boleh mendatangkan kesan yang baik kepada paras kolesterol anda.
Secara umumnya, boleh dibuat kesimpulan bahawa cara membru kopi yang sihat adalah dengan menggunakan penapis.
Apa itu Kopi Bertapis?
Sekiranya anda menggunakan penapis untuk membru kopi anda, itu adalah kopi bertapis.
Pembancuh kopi titis klasik juga menggunakan penapis. Espreso lazimnya dibru tanpa penapis, begitu juga dengan kopi yang dihasilkan menggunakan French press.
Bagaimana untuk Memastikan Minuman Kopi Anda Sihat?
Selain meminum kopi yang bertapis, terdapat pelbagai faktor lain yang turut memainkan peranan jika melibatkan soal kesihatan.
Penggunaan gula tambahan, sirap perasa dan krim juga harus dikurangkan kerana bahan-bahan ini tidak baik untuk kesihatan anda.
Begitu juga dengan jumlah kopi yang diminum dalam sehari, hadkan pengambilan kopi kepada 4 cawan sehari. Pengambilan kopi berlebihan juga boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan.