Kopi Luwak adalah kopi yang dihasilkan daripada biji kopi yang telah dimakan dan dikumuhkan oleh musang (Paradoxurus hermaphroditus). Kopi ini juga turut dikenali dengan nama kopi musang.
Sejarah Kopi Luwak bermula dari Kepulauan Jawa, Sumatra, Bali dan Sulawesi, Indonesia. Di sini, terdapat spesies musang yang dipanggil dengan nama Luwak. Musang ini tinggal di atas pokok dan sangat menyukai buah kopi yang telah masak ranum.
Haiwan ini memakan keseluruhan buah kopi termasuklah bijinya. Semasa di dalam perut musang ini, buah kopi tersebut akan melalui proses pencernaan dan fermentasi. Akhirnya, hanya biji kopi yang dikumuhkan oleh musang tersebut.
Sebelum adanya perusahaan yang berskala besar, dahulunya masyarakat setempat mengumpul biji-biji kopi yang dikumuhkan oleh musang tersebut dari lantai hutan.
Kemudian, biji kopi ini dibersihkan dan dipanggang serta dihancurkan seperti biji kopi yang lain. Oleh sebab kaedah pengumpulannya yang pelik, tidak banyak Kopi Luwak yang dihasilkan di dunia.
Kopi Luwak sering dipanggil kopi paling jarang ditemui dan paling mahal di dunia. Setiap kilogramnya boleh mencapai ratusan dolar Amerika.
Bagi peminat kopi ini, proses fermentasi yang luar biasa menjadikan rasa yang unik bagi biji kopi tersebut. Jus gaster dan enzim di dalam perut musang tersebut meningkatkan paras asid sitrik di dalam biji kopi ini seterusnya menjadikannya mempunyai aroma yang halus dan masam.
Adakah Kopi Luwak Halal?
Terdapat beberapa fatwa dan pandangan yang telah dikeluarkan oleh Majelis Ulama Indonesia, Jawatankuasa Fatwa Malaysia dan pakar-pakar berhubung status halal kopi ini iaitu: [1]
Majelis Ulama Indonesia (MUI)
Menurut Majelis Ulama Indonesia (MUI) biji kopi yang keluar bersama najis Luwak adalah mutanajjis (iaitu terkena najis).
Justeru, Kopi Luwak adalah halal setelah melalui proses pembersihan. Diperbolehkan meminum, memproduksi dan memperdagangkannya.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-98
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-98 telah memutuskan perkara yang sama iaitu biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:
- Biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam
- Biji kopi tersebut hendaklah dicuci terlebih dahulu daripada najis
- Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.
Pandangan-pandangan lain
- Menurut pandangan Fadhilatu al-Syeikh Ahmad Hujji al-Kurdi, seorang pakar dalam bidang al-Mausuah al-Fiqhiyyah dan juga salah seorang anggota Jawatankuasa Fatwa Negara Kuwait di mana beliau telah memberi fatwa apabila ditanya mengenai hukum meminum kopi yang berasal daripada najis musang. Katanya adalah tidak harus kerana ia adalah najis.
- Menurut pandangan Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, sewaktu menjadi Presiden Persatuan Ulama Malaysia telah memberi kenyataan bahawa hukum ke atas Kopi Luwak adalah haram. Beliau menjelaskan pandangan tersebut dalam siaran Buletin Utama TV3 pada 10 September 2010.
Rujukan
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2016). IRSYAD AL-FATWA KE-142: HUKUM MINUM KOPI LUWAK