Sekiranya anda ke kafe atau kedai kopi seperti Starbuck atau the Coffee Bean, anda mungkin melihat perkataan Americano dalam menu mereka. Jika anda masih baru dalam pelbagai jenis minuman kopi ini, mungkin anda tertanya-tanya apa itu Americano atau Caffé Americano tersebut.
Jika anda terfikir sama ada Americano ini sesuai dengan citarasa anda atau tidak. Atau hanya ingin mengetahui apa itu Americano. Anda berada di tempat yang betul. Di sini kami akan menjelaskan kepada anda apa itu Americano dan maklumat berkaitan dengannya.
Apa itu Americano?
Caffé Americano atau diringkaskan sebagai Americano bermula semasa Perang Dunia Ke-2 apabila tentera Amerika ditempatkan di Itali. Mereka tidak begitu menggemari espreso yang pekat yang diminum oleh askar Itali.
Maka, mereka cuba meniru kopi Itali tersebut dengan menambah air ke dalam espreso gaya Itali tersebut. Maka, lahirlah kopi Americano.
Dalam bahasa yang mudah, Americano adalah bancuhan satu “shot” espreso yang ditambah dengan air panas.
Secara umumnya, nisbah air dan espreso yang digunakan adalah sama ada 1/2 dan 1/2 atau 1/3 espreso dan 2/3 air.
Banyak juga pembuat kopi yang melebihkan air dalam kopi Americano yang disediakan oleh mereka kerana ramai peminat Americano atau orang Amerika yang sukar untuk meminum espreso tulen.
Americano tidak mengandungi susu atau ditambah dengan susu atau krim. Walau bagaimanapun, mungkin sesetengah orang meminta pembuat kopi untuk menambahnya.
Americano juga turut disediakan dalam bentuk sejuk. Proses pembuatannya masih sama. Apa yang membezakannya adalah air sejuk digunakan berbanding air panas dan turut ditambah dengan kiub ais.
Adakah Americano Mengandungi “Crema”?
Terdapat perdebatan antara komuniti kopi berkenaan bahan mana yang perlu dimasukkan dahulu di dalam cawan, espreso atau air?
Ramai yang berpendapat, untuk membancuh Americano, espreso harus dituang dahulu dan kemudianya ditambah dengan air. Susunan ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada satu faktor utama iaitu “crema“.
Crema adalah buih perang yang beraroma dan penuh dengan rasa yang melitupi permukaan espreso. Crema ini juga merupakan tanda kepada bru yang hebat.
Americano adalah espreso yang ditambah dengan air atau dicairkan dengan air. Krim pada espreso tersebut akan naik ke atas. Oleh itu, menjawab persoalan adakah Americano mempunyai lapisan crema atau tidak? Jawapannya adalah ya, Amaericano yang sebenar mempunyai lapisan crema.
Perbezaan Americano dan Long Black?
Terdapat sejenis minuman kopi yang sangat mirip dengan Americano iaitu kopi Long Black.
Kopi jenis Long Black ini lebih popular di Australia dan New Zealand. Ia lazimnya mempunyai rasa yang lebih kuat dan pekat daripada Americano.
Minuman kopi Long Black ini dihasilkan dengan memasukkan satu atau dua “shot” espreso ke dalam air.
Maka yang membezakannya adalah susunan espreso dan air sahaja.